25 Februari 2020 - 19:38
Perusuh Bakar Masjid Di India

Sebuah masjid telah dibakar di ibu negara India, New Delhi di dalam protes berhubung undang-undang kewarganegaraan yang dianggap berat dan memencilkan umat Islam di negara tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Sebuah masjid telah dibakar di ibu negara India, New Delhi di dalam protes berhubung undang-undang kewarganegaraan yang dianggap berat dan memencilkan umat Islam di negara tersebut.

Menurut laporan, sekumpulan perusuh Hindu dilihat berarak di sekitar perkarangan masjid yang terbakar itu di daerah Ashok Nagar yang terletak di ibu negara India pada hari Selasa.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan kumpulan perusuh tersebut memakai kain kuning di kepala mereka cuba memanjat kubah masjid dalam usaha menancapkan bendera khusus.

Sekurang-kurangnya 13 orang telah terbunuh sepanjang rusuhan keagamaan yang berlangsung selama tiga hari di ibu negara India.

"Saya boleh mengesahkan 13 kes kematian. Sekurang-kurangnya 150 orang (juga) telah datang ke hospital kami dengan kecederaan," kata pegawai Hospital Guru Teg Bahadur, Rajesh Kalra.

Kalra berkata sekitar dua belas orang juga berada dalam keadaan kritikal. "Kami masih menerima beberapa orang yang mengalami kecederaan..."

Penganut ajaran Hindu telah bertembung dengan kaum Muslim di kawasan kejiranan Maujpur sejak hari Ahad.

Kerajaan Modi sehingga ini dituduh memacu ketegangan agama di negara itu dengan usaha menukarkan negara India kepada negara Hindu.

Sementara itu, para pengkritik juga mendakwa bahawa undang-undang kewarganegaraan baharu itu turut mengancam status India sebagai sebuah negara sekular. -Agensi